Pantun seloka ini disediakan oleh bonda:
Ungkapan beliau sebagai mula bicara "Istimewa untuk Gurubesar dan guru-guru yang sama mengajar dengan saya di SRK Tengkera 2 Melaka pada tahun 1982".
Kalau tuan berhati berani,
Tahanlah segala cubaan,
Tujuh tahun saya disini,
Agak lama dalam kiraan.
Sekolah Tengkera dalam pekan,
Senang datang dan pergi,
Selamat tinggal ku ucapkan,
Panjang umur bertemu lagi.
Tengkera memang dalam pekan,
Menjadi tumpuan kita bersama,
Sangat sayang hendak tinggalkan,
Rumah, sekolah dan kenalan lama.
Buah Cermai dibuat halua,
Mari dimakan bersama roti,
Tapi terpaksa pergi jua,
Menyahut seruan suami.
Mari dimakan bersama roti,
Memang enak rasanya bukan,
Suka dan Duka silih berganti,
Pahit getir pernah diraskan.
Kalau pergi ke Tanjung Ru,
Bawalah juga langsat sekati,
Kelas pemulihan kelas baru,
Bukanlah kelas impian hati.
Ramai juga kenalan semua,
Pergi melancung ke Surabaya,
Namun saya ajar jua,
Setakat yang saya terdaya.
Bekalan melancung ialah ketupat,
Bersama rendang, roti dan kari,
Janganlah dipuji atau diumpat,
Saya bukanlah seorang bistari.
Kalau ada temasya menari,
Jamuan ringan hidangkanlah,
Guru besar seorang bistari,
Pandai sungguh mentadbir sekolah.
Kalau tuan ke pekan Melaka,
Selera tuan hendaklah dijamu,
Guru-guru lain rajin belaka,
Menjalankan tugas tanpa jemu.
Dari Melaka ke Singapura,
Singgah di Johor beli rambutan,
Pergaulan di sini sungguh mesra,
Hilai ketawa sering bersahutan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.